
PUTRAJAYA, 9 April – Kementerian Pengangkutan (MOT) menjangkakan perubahan tingkah laku dalam kalangan rakyat dengan lebih ramai beralih kepada penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan elektrik susulan ketidaktentuan global serta krisis tenaga.
- MTEN yang dipengerusikan Perdana Menteri meneliti kesan krisis, memberi tumpuan jaminan bekalan dan kestabilan ekonomi.
- Subsidi BUDI95 mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter walaupun harga pasaran meningkat.
- MOT bertanggungjawab memastikan sistem pengangkutan awam beroperasi cekap, boleh dipercayai dan selesa.
- Usaha MOT menyokong peralihan kepada mobiliti lestari dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil jangka panjang.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, jangkaan itu selari dengan usaha kerajaan menangani konflik di Asia Barat yang memberi tekanan terhadap harga bahan api.
“Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar ibrahim telah meneliti secara menyeluruh kesan krisis tersebut, khususnya dari sudut jaminan bekalan dan kestabilan ekonomi.
“Antara langkah utama yang diambil ialah mengekalkan subsidi RON95 bawah Program Budi MADANI (BUDI95) pada paras RM1.99 seliter walaupun harga pasaran bahan api lain menunjukkan peningkatan ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan menjadi tanggungjawab Kementerian Pengangkutan untuk memastikan sistem pengangkutan awam negara terus beroperasi dengan tahap kecekapan, kebolehpercayaan dan keselesaan yang tinggi.
Usaha itu juga dilihat mampu menyokong peralihan ke arah mobiliti lebih lestari, selain mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dalam tempoh jangka panjang.