
ALOR SETAR, 9 April – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus memperkukuh agenda pembangunan infrastruktur luar bandar di Kedah.
- Inisiatif utama: PPRT KEDA, Kampung Perumahan Tradisional, Program Bantuan Rumah dan Projek Pemajuan Kawasan serta Pusat Pertumbuhan Desa.
- Transformasi reka bentuk rumah memudahkan pergerakan harian dan meningkatkan kualiti hidup komuniti desa secara holistik.
- Lebih 78,540 penduduk desa kini menikmati kediaman kondusif; KEDA sedia 15,708 unit rumah sejak 1985 hingga 2022.
KEDA dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif itu merangkumi beberapa program utama selaras dengan matlamat meningkatkan keselesaan, keselamatan dan akses perumahan komuniti desa.
“Antaranya, Projek Penempatan Semula Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) KEDA; Kampung Perumahan Tradisional; Program Bantuan Rumah (PBR) dan PPRT; serta Projek Pemajuan Kawasan (PPK) dan Pusat Pertumbuhan Desa (PPD).
“Transformasi reka bentuk rumah yang dilaksanakan bukan sahaja menyediakan tempat berteduh, malah memudahkan pergerakan harian sekali gus meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat secara holistik,” menurut kenyataan itu.
Kini, lebih 78,540 penduduk desa menikmati kediaman yang lebih kondusif dan berkualiti.
Melalui pelaksanaan pelbagai program perumahan yang telah dibina sejak tahun 1985 hingga 2022, KEDA telah berjaya menyediakan sebanyak 15,708 unit rumah di seluruh wilayah pembangunannya.