fb fb fb fb fb

Malaysia gesa penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dilaksana tanpa halangan

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague / FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 27 Januari- Wisma Putra menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat yang mengarahkan Israel supaya mengambil semua langkah yang mungkin untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Wisma Putra turut menggesa agar penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dapat dilakukan tanpa sebarang halangan.

"Malaysia menyambut baik keputusan ICJ dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel bawah Konvensyen Genosid 1948, yang mengarahkan agar Israel segera mengambil langkah-langkah seperti mencegah genosid di Gaza.

"Kedua, memastikan tentera Israel tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid, ketiga, mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid, keempat, membenarkan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan untuk memasuki Gaza.

"Kelima, menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid; dan akhir sekali mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil untuk melaksanakan perintah tersebut dalam tempoh satu bulan", tambah kenyataan tersebut.

Tambah Wisma Putra, Malaysia akan menunggu prosiding seterusnya yang akan meneliti dakwaan genosid yang dilakukan oleh Israel, dan akan terus menyokong permohonan Afrika Selatan di ICJ.

Malaysia turut mengulangi gesaan agar Palestin diterima sebagai Negara Anggota PBB dan diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD