fb fb fb fb fb

Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 di tujuh negeri bermula esok di Johor

Esok berlangsung Majlis Sambutan Aidilfitri Madani bertempat di Padang Begonia, Angsana, Johor Bahru Mall bermula dari jam 4 petang hingga 7 malam.

PUTRAJAYA, 17 April- Penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di tujuh negeri, bermula esok.

Menurut sekretariat majlis sambutan itu, penganjuran majlis itu adalah hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan setiap kementerian sebagai peneraju bersama.

Antara negeri yang terlibat ialah Johor pada 18 April, Sabah (20 April), Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan Terengganu (9 Mei).

Esok berlangsung Majlis Sambutan Aidilfitri Madani bertempat di Padang Begonia, Angsana, Johor Bahru Mall bermula dari jam 4 petang hingga 7 malam bersama-sama Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan pula akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu dari pukul 10.30 pagi hingga 3.00 petang, dengan Kerajaan Negeri Sabah selaku tuan rumah manakala Kementerian Perpaduan Negara selaku kementerian peneraju.

“Majlis ini akan dihadiri oleh Perdana Menteri sebagai tetamu jemputan utama dan turut dihadiri oleh menteri besar atau ketua menteri negeri berkenaan,” menurut Sekretariat Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan tujuan utama penganjuran majlis berkenaan adalah bagi memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, serta membolehkan pemimpin bertemu dan beramah mesra dengan rakyat.

Majlis itu juga bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk meraikan hari kebesaran umat Islam bersama-sama pemimpin di peringkat Persekutuan dan negeri.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI