
PUTRAJAYA, 14 Januari – Majlis Media Malaysia memerlukan sedikit masa untuk menguruskan aspek asas pentadbiran sebelum bergerak lebih aktif melaksanakan peranan berkaitan kod etika kewartawanan serta mekanisme aduan awam, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurutnya, Majlis Media Malaysia turut memberi komitmen untuk menguruskan isu-isu berkaitan etika pelaporan media sebaik keperluan asas pentadbiran dapat diselesaikan.
“Saya sangat gembira dapat bertemu dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Media Malaysia. Ini satu pencapaian yang cukup baik, ya usaha kita untuk menubuhkan majlis media dan mereka ada memaklumkan sebelum boleh berlari, sebelum boleh berjalan perlu bertatih dahulu.
“Jadi ada beberapa perkara asas yang perlu diuruskan dahulu, mereka memohon memaklumkan bahawa mereka perlukan sedikit masa untuk menguruskan aspek-aspek pentadbiran dan
“Setelah beberapa perkara asas ini dapat diselesaikan, mereka memberi komitmen untuk menguruskan isu kod etika bagi para wartawan termasuk mekanisme untuk menerima aduan daripada khalayak umum, orang ramai, mengenai isu-isu berkaitan dengan pelaporan media,” katanya dalam Sidang Media Pasca Kabinet Pertama 2026 di Putrajaya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertemuan beliau bersama Ahli Jawatankuasa Majlis Media Malaysia yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam usaha menubuhkan badan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Fahmi berkata beliau turut memaklumkan kepada Majlis Media Malaysia mengenai Dana Inovasi Media bernilai RM30 juta yang bertujuan membantu organisasi media legasi menjalani proses pendigitalan serta memanfaatkan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan, tanpa menjejaskan peranan wartawan dan petugas media.
Beliau berharap agar Majlis Media Malaysia dapat memainkan peranan penting dalam memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada pengamal media, termasuk sempena sambutan Hari Wartawan Nasional yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun tahun ini.