LRT Laluan Kelana Jaya: 26 tren baharu beroperasi sepenuhnya pada 2031

Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid Rail, Nor Azmi Mohd Yusof

SUBANG, 20 Mei – Sebanyak 26 tren baharu bagi Laluan LRT Kelana Jaya akan diganti secara berperingkat menjelang 2031 bagi memperkukuh tahap kebolehpercayaan perkhidmatan rel berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tren pertama dijangka diterima pada 2029.
  • Penggantian tren dijangka disempurnakan menjelang 2030.
  • Rapid Rail mempertingkatkan kerja penyelenggaraan, menggantikan komponen lebih awal berdasarkan keadaan dan kehausan.
  • Bukan semua gangguan disebabkan usia; ada ketidakstabilan sistem dan insiden kabel bateri cair pada 12 Mei.

Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid Rail, Nor Azmi Mohd Yusof berkata, tren pertama dijangka diterima pada 2029.

Menurut beliau, langkah itu merupakan sebahagian pelan jangka panjang syarikat untuk menambah baik operasi susulan peningkatan jumlah pengguna pengangkutan awam ketika ini.

“Tren yang pertama akan tiba di laluan ini pada tahun 2029, ini adalah satu tambah baik jangka panjang.

“Penggantian ini akan disempurnakan menjelang 2030, dan 2031 kita akan dapat beroperasi dengan tren baharu,” katanya pada sesi taklimat media hari ini.

Sementara itu, Rapid Rail turut mempertingkatkan kerja penyelenggaraan Laluan LRT Kelana Jaya termasuk menggantikan komponen tren lebih awal daripada jadual susulan gangguan operasi berulang.

Katanya, Rapid Rail melaksanakan kerja penyelenggaraan berdasarkan keadaan semasa komponen dan tahap kehausannya, bukan hanya mengikut tempoh yang ditetapkan pengeluar.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa tren yang berusia adalah penyumbang kepada kegagalan, tetapi bukan semua tren yang mengalami gangguan adalah atas faktor usia.

“Ada juga kerosakan yang dianggap pengguna sebagai sistem rosak, tetapi sebenarnya berpunca daripada ketidakstabilan sistem yang sedang dinaik taraf,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gangguan perkhidmatan berulang di Laluan Kelana Jaya termasuk insiden kabel bateri cair pada 12 Mei lalu.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.