Lima subsektor pembuatan terkesan krisis bekalan global

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir/gambar fail

PUTRAJAYA, 19 Mei – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengenal pasti lima subsektor pembuatan paling terkesan susulan krisis tenaga dan gangguan bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsektor terjejas: automotif dan komponen; makanan dan minuman; plastik dan pembungkusan; kimia dan petrokimia; elektrikal dan elektronik.
  • Tinjauan FMM melibatkan 225 syarikat daripada kira-kira 4,200 syarikat ahli merangkumi 29 subsektor pembuatan.
  • Tekanan menyeluruh: kekurangan bahan mentah, kos logistik meningkat, aliran tunai tertekan, daya saing eksport dan perancangan pelaburan terganggu.
  • Kerajaan beri sokongan pembiayaan: SME SRF (RM5 bilion) dan jaminan pembiayaan SJPP untuk membantu PKS, tertakluk kelayakan.

Subsektor tersebut melibatkan automotif dan komponen, makanan dan minuman, plastik dan pembungkusan, kimia dan petrokimia serta elektrikal dan elektronik.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata,dapatan itu berdasarkan tinjauan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang melibatkan 225 syarikat daripada kira-kira 4,200 syarikat ahli, merangkumi 29 subsektor pembuatan.

Tambahnya, tekanan yang dihadapi industri adalah menyeluruh, termasuk bekalan bahan mentah, peningkatan kos logistik, tekanan aliran tunai, daya saing eksport, perancangan pelaburan dan keperluan mengekalkan guna tenaga.

“Dapatan ini menunjukkan bahawa tekanan yang dihadapi industri pembuatan memberi kesan berangkai kepada kos pengeluaran, kelancaran operasi, penghantaran eksport dan keupayaan syarikat untuk mengekalkan momentum pertumbuhan,” katanya ketika sesi Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung pada Selasa.

Tambah beliau, kerajaan menyedari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) lebih terdedah kepada tekanan kos berpanjangan berikutan ruang kewangan yang terhad.

Sehubungan itu, kerajaan menyediakan sokongan pembiayaan bersasar termasuk SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) oleh Bank Negara Malaysia berjumlah RM5 bilion bagi membantu PKS yang terkesan.

Kerajaan turut menyediakan sokongan jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) merentas sektor ekonomi termasuk sektor pembuatan, tertakluk kepada kelayakan skim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.