Libat urus industri tangani krisis bekalan

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini telah mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berhubung kesan krisis bekalan global terhadap sektor pembuatan negara. – Foto PMO

PUTRAJAYA, 19 Mei – Langkah dan dasar ekonomi yang dirangka kerajaan akan mengambil kira cabaran sebenar yang dihadapi sektor industri ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembentangan FMM kepada MTEN memberi gambaran jelas cabaran krisis bekalan global terhadap sektor pembuatan negara.
  • Kerajaan sediakan SME Stabilisation Relief Facility dan jaminan SJPP untuk membantu PKS mengekalkan aliran tunai dan operasi perniagaan.
  • Kerajaan menambah baik kawalan diesel bersubsidi secara seimbang, utamakan bekalan makanan, tenaga dan ubat-ubatan serta tingkatkan libat urus industri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi tujuan itu Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini telah mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berhubung kesan krisis bekalan global terhadap sektor pembuatan negara.

“Pembentangan ini memberi gambaran yang lebih jelas kepada kerajaan mengenai cabaran semasa yang sedang dihadapi pihak industri.

“Ini penting supaya langkah dan dasar yang dirangka kerajaan benar-benar mengambil kira realiti di lapangan, khususnya dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang paling terkesan dengan tekanan kos semasa,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan telah mengambil langkah memperkukuh sokongan melalui SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) berjumlah RM5 bilion oleh Bank Negara (BNM).

Inisiatif itu bagi memastikan PKS terus berupaya mengekalkan aliran tunai dan meneruskan operasi perniagaan.

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof – Foto PMO

Datuk Seri Anwar berkata, selain itu sokongan jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM5 bilion juga disediakan bagi membantu sektor yang terjejas.

“MTEN turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang akan dilaksanakan secara seimbang supaya kawalan ketirisan dapat diperkukuhkan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan negara,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan terus mengurus krisis dengan memberi tumpuan terhadap jaminan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan serta barangan keperluan di samping mengekang tekanan kenaikan harga dan memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Anwar turut menegaskan bahawa libat urus bersama industri dan pihak berkepentingan akan terus dipertingkat bagi memastikan setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh serta berpaksikan kepentingan rakyat dan negara.

“Libat urus bersama industri dan semua pihak berkepentingan akan terus dipertingkat supaya setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.