
DUNGUN, 29 April – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan Hutan Simpan Bukit Bauk, Bukit Lat Dungun, sejak 24 April lalu berjaya ditemui dalam keadaan selamat di Kampung Binjai, Che Lijah, di sini, tengah hari tadi.
- Mangsa ditemui sedar tetapi lemah; dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
- Masuk hutan bersama dua rakan untuk mencari kayu; dua rakan keluar hari sama, mangsa tidak pulang.
- Pencarian dilakukan keluarga dan pihak berkuasa sebelum laporan polis dibuat pada 28 April.
- Operasi SAR melibatkan polis, JBPM, APM, Jabatan Perhutanan, pasukan K9, orang awam, dengan 37 anggota.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh dalam satu kenyataan media memaklumkan mangsa Mohd Nawi Ismail, 55 tahun, dari Kampung Serdang, Dungun ditemui pada 12.15 tengah hari tadi kira-kira 3.2 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Bukit Lat Dungun.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan sedar tetapi lemah sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun (HD) untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan kira-kira 2.00 petang tadi.
“Usaha mengesan dan mencari mangsa telah dilakukan ahli keluarga bersama pihak berkuasa sejak hari kejadian, namun gagal ditemui sehingga laporan polis dibuat pada 28 April lalu,” menurut kenyataan itu.
Mangsa Mohd Nawi Ismail, 55 tahun, dari Kampung Serdang, Dungun dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan berkenaan bersama dua lagi rakannya untuk mencari kayu.
Bagaimanapun dua rakannya itu berjaya keluar dari hutan pada hari sama, namun mangsa dikatakan tidak pulang dan gagal dihubungi.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilaklukan pihak polis bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Turut membantu pencarian ialah Jabatan Perhutanan, bantuan anjing pengesan (K9) dan orang awam telah digerakkan dengan kekuatan keseluruhan seramai 37 anggota.
Dalam pada itu orang ramai dinasihatkan berhati-hati untuk melakukan sebarang aktiviti di dalam hutan tanpa panduan atau peralatan keselamatan mencukupi dan perlu memberitahu pihak polis.