Lebih RM280 juta dicadang untuk TSPKS 2.0 – PM

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 September – Kerajaan sedang meneliti cadangan peruntukan RM280.03 juta bagi Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 sebagai antara langkah memperkukuh sektor agrikomoditi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menimbang TSPKS 2.0 dalam Belanjawan 2027 untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil.
  • Cadangan peruntukan lain termasuk RM17.05 juta bagi pemerkasaan hiliran, RM28.57 juta tabung bencana, RM100 juta jalan ladang.
  • Pendekatan hibrid tanam semula 50% geran 50% pinjaman pada kadar faedah 2%; bantuan musim tengkujuh RM400 sebulan kepada 270,000 pekebun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu merupakan antara beberapa inisiatif yang sedang diteliti bagi dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027, khususnya untuk meningkatkan produktiviti serta pendapatan pekebun kecil.

“Pekebun ini, walaupun kadang-kadang kita sebut sebagai pekebun kecil, jika digabungkan semuanya, sumbangannya adalah besar. Kita bertanggungjawab untuk mencari jalan bagi meningkatkan mutu pengeluaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar memaklumkan selain TSPKS 2.0, turut dicadangkan RM17.05 juta bagi Pemerkasaan Usahawan Hiliran Sektor Agrikomoditi, RM28.57 juta bagi Tabung Bencana dan Kawalan Penyakit Sektor Agrikomoditi serta RM100 juta bagi Program Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian.

Beliau berkata kerajaan perlu memberi perhatian kepada keperluan pekebun kecil kerana meskipun skala operasi mereka kecil, sumbangan secara keseluruhannya adalah besar kepada sektor agrikomoditi negara.

Katanya, usaha meningkatkan mutu dan produktiviti pengeluaran golongan berkenaan perlu terus diberi keutamaan, termasuk dengan mendengar sendiri masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi.

Kerajaan sebelum ini turut memperkenalkan pendekatan hibrid bagi program tanam semula sawit, dengan 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman mudah pada kadar faedah dua peratus.

Peruntukan bagi jalan ladang pekebun kecil juga dinaikkan daripada RM8 juta setahun kepada RM50 juta pada 2026.

Pada masa sama, seramai 270,000 pekebun kecil termasuk pengusaha sawit, getah, koko, lada dan kenaf menerima bantuan tunai musim tengkujuh sebanyak RM400 sebulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.