
PUTRAJAYA, 8 September – ASEAN perlu menilai dan menambah baik mekanisme sedia ada bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang semakin membimbangkan, khususnya apabila keadaan itu memberi kesan kepada kesihatan dan kehidupan rakyat.
- Kesan jerebu memberi impak serius kepada kesihatan awam, terutamanya kanak-kanak dan bayi.
- Sumber jerebu dikesan di kawasan penanaman Indonesia dan dirujuk untuk perbincangan di peringkat ASEAN.
- Malaysia memberi teguran kepada syarikat tempatan, namun mengalu-alukan tindakan pihak berkuasa Indonesia jika pembakaran berlaku di sana.
- Perlu kerjasama ASEAN yang lebih padu untuk mengurangkan kesan terhadap kehidupan dan kesihatan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara berkenaan perlu diberi perhatian serius oleh menteri-menteri ASEAN, susulan kesan jerebu terhadap orang awam, termasuk kanak-kanak dan bayi.
“Masih ada ruang untuk penambahbaikan. Saya berpendapat menteri-menteri ASEAN perlu melihat perkara ini secara serius kerana ia menjejaskan kehidupan, terutamanya kanak-kanak dan bayi.
“Seperti yang kita lihat di Serian, keadaannya amat membimbangkan”, katanya pada sidang media selepas majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi, di sini hari ini.
Mengulas mengenai sumber jerebu yang dikesan di kawasan penanaman di Indonesia, Datuk Seri Anwar berkata perkara itu telah dirujuk untuk dibawa ke peringkat perbincangan ASEAN.
Beliau berkata Malaysia juga mengambil tindakan teguran terhadap syarikat tempatan yang terkesan, namun pada masa sama memberi ruang kepada pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil tindakan sekiranya pembakaran berlaku di negara itu.
Perdana Menteri menegaskan Malaysia tidak akan mempertahankan mana-mana syarikat sekiranya terdapat tindakan pembakaran yang berlaku di Indonesia dan tertakluk kepada tindakan pihak berkuasa negara berkenaan.
“Ada yang kita buat teguran, tapi sebenarnya yang pembakaran kita dapat dikesan banyak daripada hutan. Walau bagaimanapun, kalau ada syarikat Malaysia terkesan, kita beri ruang Indonesia untuk ambil tindakan.
“… dan perbuatan itu tentunya telah berlaku di sana, tindakan di sana dan kita tidak mempertahankan”, katanya.
Beliau berkata isu jerebu rentas sempadan perlu ditangani secara serius melalui kerjasama ASEAN, terutama bagi memastikan kesannya terhadap kehidupan dan kesihatan rakyat dapat diminimumkan.