SEREMBAN, 24 Mac - Lebih RM260,000 kompaun dikeluarkan atas kesalahan merokok di tempat awam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) menerusi 462 operasi bersepadu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak Januari lalu hingga Isnin lalu.
Ketua Unit Inspektoran dan Perundangan JKNS, Mariappan Semalai, berkata antara kesalahan yang dikenal pasti merokok di premis makanan dan premis larangan merokok.
"Pemilik premis perlu memainkan peranan menegur perokok agar tidak menjadi ikutan, sekurang-kurangnya tanggungjawab sudah dijalankan.
"Kami akan memastikan ada teguran dibuat oleh pemilik premis, sekiranya ada teguran maka kompaun tidak dikeluarkan kepada mereka," katanya dalam sidang akhbar Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di sini semalam.
JKNNS juga mengeluarkan sebanyak 892 Notis Memerintahkan Kehadiran Ke Mahkamah (Seksyen 32B) yang boleh dikompaun telah dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004).
Dalam operasi pada Rabu yang bermula pada pukul 2 petang hingga 11 malam, JKKNS memeriksa sebanyak 90 premis dan sebanyak 66 Notis Memerintahkan Kehadiran Ke Mahkamah (Seksyen 32B) telah dikeluarkan.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 30 notis atas kesalahan merokok di premis makanan dikeluarkan di bawah Peraturan11(1)(d) dengan nilai kompaun RM 7,500.