
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Sebanyak 3,000 unit lampu jalan LED berkuasa solar akan dipasang di 32 lokasi berisiko kemalangan di beberapa lebuh raya utama seluruh negara menerusi Program Pantau MADANI, bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya terutama pada waktu malam.
- Projek bernilai lebih RM25 juta dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.
- Menumpukan pemasangan di titik hitam dan kawasan kadar kemalangan tinggi pada waktu malam, menyokong teknologi hijau dan infrastruktur mampan.
- Empat pakej tender, kerja bermula 30 Jun dan dijangka siap menjelang November dengan kepatuhan spesifikasi, kualiti dan jadual.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek bernilai lebih RM25 juta itu memberi tumpuan kepada lokasi titik hitam (blackspot) dan kawasan yang merekodkan kadar kemalangan tinggi berdasarkan analisis kemalangan pada waktu malam.
“Projek yang dibiayai sepenuhnya menerusi peruntukan dalaman Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu merupakan antara inisiatif berimpak tinggi yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026 bagi mengurangkan risiko kemalangan di lebuh raya.
“Selain meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, inisiatif ini turut menyokong penggunaan teknologi hijau serta pembangunan infrastruktur yang mampan selaras dengan agenda kelestarian negara,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Program Pantau MADANI: Pelaksanaan Inisiatif Pemasangan Lampu Jalan LED Berkuasa Solar di Lokasi Berisiko Terjadi Kemalangan di Lebuh Raya di Menara Kerja Raya, hari ini.
Tambah beliau, projek berkenaan melibatkan empat pakej yang ditawarkan menerusi tender terbuka oleh LLM dan dijadual bermula 30 Jun ini selepas SST diserahkan kepada kontraktor yang berjaya.
Katanya, semua kerja pemasangan dijangka siap sepenuhnya menjelang November depan, dengan penekanan diberikan terhadap pematuhan spesifikasi, standard kualiti dan tempoh pelaksanaan yang ditetapkan.
“Daripada keseluruhan 3,000 unit lampu yang akan dipasang, sebanyak 1,005 unit melibatkan 12 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan (E1) antara Persimpangan Bertingkat Sungai Buloh hingga Gurun.
“Sebanyak 567 unit lagi akan dipasang di enam lokasi di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (E29) dan jajaran selatan Lebuhraya Utara-Selatan antara Senawang dan Pedas Linggi.
“Sementara itu, 738 unit akan ditempatkan di lima lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan (E2) antara Ayer Keroh dan Yong Peng Utara, manakala baki 690 unit melibatkan sembilan lokasi di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (E8) serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan Fasa 2,” katanya lagi.
Beliau juga berharap semua kontraktor yang dilantik dapat melaksanakan projek berkenaan dengan penuh profesionalisme serta mematuhi spesifikasi dan jadual yang ditetapkan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati pengguna lebuh raya mengikut perancangan.