
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Sebanyak 1,059 kes kemalangan pendakian direkodkan di seluruh negara antara 2021 hingga 2025, termasuk 63 kematian dan 87 kes kecederaan.
- JPSM dengan sokongan pembiayaan UNDP membangunkan Garis Panduan MoGRAM untuk penilaian risiko dan pengurusan kapasiti laluan pendakian.
- Khidmat Malim Gunung Perhutanan diwajibkan di laluan berisiko tinggi; 2,322 individu termasuk Orang Asli telah ditauliahkan.
- Perhilitan mengguna pakai piawaian antarabangsa ISO 21101:2014 bagi memperkukuh pengurusan keselamatan pelancongan pengembaraan di kawasan perlindungan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, jumlah itu berdasarkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut beliau, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memandang serius aspek keselamatan aktiviti rekreasi hutan yang semakin mendapat sambutan masyarakat.
“Bagi memastikan aktiviti rekreasi di Hutan Simpanan Kekal (HSK) diurus secara sistematik, JPSM dengan sokongan pembiayaan daripada United Nations Development Programme (UNDP) telah membangunkan Garis Panduan Kebangsaan Penilaian dan Pengurusan Risiko Gunung (MoGRAM) sebagai rujukan teknikal mitigasi risiko dan pengurusan kapasiti laluan pendakian,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, garis panduan itu berfungsi sebagai rujukan teknikal dalam mengenal pasti risiko, mengurus kapasiti laluan pendakian serta meningkatkan tahap keselamatan di kawasan rekreasi hutan.
Selain itu, khidmat Malim Gunung Perhutanan diwajibkan di kawasan pendakian yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi membantu aspek navigasi, pematuhan prosedur keselamatan dan pengendalian situasi kecemasan.
Sehingga kini, seramai 2,322 individu daripada komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli telah ditauliahkan sebagai Malim Gunung Perhutanan.
Dalam masa sama, Perhilitan turut mengguna pakai piawaian antarabangsa ISO 21101:2014 bagi memperkukuh pengurusan keselamatan aktiviti pelancongan berasaskan pengembaraan di kawasan perlindungan negara.