
ACCRA, 28 September – Ghana menolak cadangan perjanjian kesihatan bernilai AS$109 juta (RM459 juta) dengan Amerika Syarikat (AS) kerana beberapa syarat dianggap menjejaskan kedaulatan kesihatan negara.
- Ghana menolak perjanjian kerana syarat berkongsi profil patogen dan rekod perubatan dianggap menjejaskan kedaulatan data kesihatan.
- Mahama mempersoalkan kuasa AS terhadap produk perubatan import dan menegaskan Pentadbiran Makanan dan Ubat Ghana harus memeriksa produk.
- Penarikan bantuan AS menyebabkan jurang pembiayaan; Accra Reset dilancar untuk kurangkan kebergantungan dan tingkatkan pengeluaran ubat tempatan.
Presiden Ghana, John Dramani Mahama berkata, cadangan itu antara lain memerlukan Ghana berkongsi profil patogen dan rekod perubatan dengan As.
“Siapa yang mengambil rekod perubatan negara lain? Itu sesuatu yang pelik,” katanya dalam satu kenyataan di Accra pada Isnin.
Mahama turut mempersoalkan syarat yang memberi kuasa kepada AS terhadap produk perubatan yang diimport ke Ghana.
Beliau berkata, Pentadbiran Makanan dan Ubat Ghana sepatutnya mempunyai hak untuk memeriksa ubat dan produk kesihatan yang memasuki negara itu.
Ghana menolak cadangan tersebut pada April selepas menyuarakan kebimbangan mengenai perkongsian data kesihatan sensitif.
Perjanjian lima tahun itu merupakan sebahagian daripada Strategi Kesihatan Global “America First” pentadbiran Presiden Donald Trump.
Ia turut mencadangkan Ghana meningkatkan peruntukan domestik untuk sektor kesihatan dan memperluas kerjasama kesihatan dengan Washington.
Mahama berkata, penarikan bantuan kesihatan Amerika menyebabkan Ghana berdepan jurang kira-kira AS$74 juta (RM311 juta) dalam peruntukan kesihatan, termasuk bagi penyelidikan perubatan, makmal, ujian HIV dan ubat antiretroviral.
Keadaan itu mendorong kerajaan Ghana memperkenalkan agenda “Accra Reset” bagi mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kesihatan asing serta meningkatkan pengeluaran ubat dan vaksin tempatan.
Mahama berkata, pengalaman pandemik COVID-19 menunjukkan keperluan Afrika membina keupayaan kesihatan sendiri kerana benua itu sebelum ini bergantung kepada pengeluar vaksin di negara Barat. – VIORY