
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Erwin Khairul Ahmad, dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
- Menjadi KP Japen yang ke-20 sejak penubuhan organisasi pada 1945.
- Pengalaman lebih 25 tahun dalam komunikasi strategik, pengurusan isu dan media siber.
- Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Penyiaran) dan Sarjana Sastera (Pengajian Media dan Informasi) dari UiTM.
- Tugas sebelum ini termasuk pelbagai jawatan kanan JAPEN dan Naib Presiden IPRM, mengukuhkan profesionalisme komunikasi awam.
Pelantikan beliau menjadikannya KP Japen yang ke-20 sejak penubuhan organisasi itu pada tahun 1945.
Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JAPEN dalam satu kenyataan berkata, pelantikan beliau diyakini mampu memperkukuh peranan jabatan itu sebagai peneraju komunikasi kerajaan yang lebih berwibawa dan berkesan.
Erwin Khairul, 51, yang dilahirkan di Kuala Lumpur merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Sebaran Am (Kepujian) (Penyiaran) serta Sarjana Sastera Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Beliau memulakan kerjaya dalam sektor awam sebagai Pegawai Penerangan pada 2001 dan mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang komunikasi strategik, pengurusan isu serta media siber.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting.
Antaranya, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu JAPEN, Timbalan Pengarah Bahagian Media Siber JAPEN, Pengarah JAPEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik Kementerian Komunikasi serta Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JAPEN.
Beliau juga merupakan Naib Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) yang berperanan memartabatkan profesionalisme industri perhubungan awam negara.
Menurut JAPEN, pengalaman dan kepakaran beliau dalam pengurusan isu, gerak saraf serta komunikasi media siber dijangka dapat memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat.