
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp berjaya meningkatkan jumlah fasiliti kitar semula daripada 600 pada tahun 2022 kepada 970 fasiliti setakat Mei lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kemudahan itu merangkumi pusat pandu lalu kitar semula, pusat kitar semula komuniti, mesin pulangan automatik (reverse vending machine), pusat beli balik barangan kitar semula dan pusat komuniti sifar sisa.
“Di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI), kerajaan menyediakan geran hingga RM100,000 bagi setiap projek sektor hijau dan kitar semula yang boleh dipohon oleh jawatankuasa penduduk, kampung serta komuniti setempat.
Sehingga Mei lalu, sebanyak 72 pusat pandu lalu kitar semula telah diwujudkan menerusi inisiatif tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai bentuk sokongan kerajaan terhadap pusat-pusat kitar semula komuniti di Dewan Rakyat.
Selain itu, kerajaan turut menggalakkan penyertaan masyarakat menerusi program ‘Trash to Cash’ serta penggunaan aplikasi digital yang membolehkan bahan kitar semula ditukar kepada wang tunai, mata ganjaran, kredit e-dompet dan baucar membeli-belah.
“Setakat 18 Jun lepas, lebih 225,000 pengguna aktif telah berdaftar dalam platform digital berkaitan kitar semula,” tambahnya.
Menurut beliau, pendekatan bersepadu itu bukan sahaja meningkatkan kadar kitar semula dalam kalangan masyarakat, malah berpotensi menjana pendapatan isi rumah serta menyokong agenda pembasmian kemiskinan bandar.