OP Lusuh Sarawak : MCMC dan PDRM tumpaskan sindiket curi peralatan telekomunikasi

Op Lusuh: Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan telekomunikasi, termasuk bateri stesen pemancar serta Remote Radio Unit (RRU), yang dipercayai milik syarikat telekomunikasi

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan peralatan telekomunikasi yang disyaki dicuri menerusi Operasi Bersepadu Op Lusuh pada 18 hingga 19 Jun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelbagai peralatan telekomunikasi termasuk bateri stesen pemancar dan Remote Radio Unit (RRU) ditemui dalam premis gudang di Kota Samarahan.
  • Dua individu ditahan dan semua peralatan disita sebagai bahan bukti untuk siasatan lanjut.
  • Pesalah berdepan tindakan di bawah Seksyen 235 Akta 588; agensi memperkukuh kerjasama dan orang ramai diminta melaporkan aktiviti mencurigakan.

Operasi yang melibatkan beberapa lokasi di sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan itu membawa kepada serbuan sebuah premis di Kota Samarahan yang dipercayai menjadi gudang penyimpanan peralatan telekomunikasi yang diperoleh secara tidak sah.

Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan telekomunikasi, termasuk bateri stesen pemancar serta Remote Radio Unit (RRU), yang dipercayai milik syarikat telekomunikasi.

Dalam operasi sama, dua individu turut ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan, manakala semua peralatan yang ditemui telah disita sebagai bahan bukti.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, kecurian dan vandalisme aset telekomunikasi bukan sahaja satu kesalahan jenayah, malah boleh mengganggu perkhidmatan komunikasi kepada pengguna, termasuk perkhidmatan kritikal yang bergantung kepada rangkaian telekomunikasi.

MCMC berkata, pesalah boleh didakwa di bawah Seksyen 235 Akta 588 dan berdepan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Operasi itu membuktikan kerjasama erat antara MCMC, PDRM Sarawak, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) dan agensi berkaitan dalam membanteras jenayah yang mengancam infrastruktur telekomunikasi negara.

Pihak berkuasa turut menegaskan bahawa kerjasama strategik antara agensi akan terus diperkukuhkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat, stabil dan berdaya tahan.

Orang ramai digesa melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan aset telekomunikasi bagi membantu membendung jenayah tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.