
KUANTAN, 24 Jun – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang menafikan penglibatan agensi itu dalam sebarang kegiatan penipuan e-dagang susulan aduan diterima membabitkan beberapa peniaga yang kerugian selepas dipercayai diperdaya individu menyamar sebagai pegawai jabatan berkenaan.
- Individu tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan identiti pegawai untuk memperdaya peniaga melalui tempahan barangan.
- JAS memandang serius penyalahgunaan nama jabatan bagi memperdaya orang awam dan peniaga.
- Orang ramai dinasihat berwaspada dan membuat semakan dengan JAS untuk tawaran melibatkan transaksi kewangan.
- Semua urusan rasmi dijalankan melalui saluran dan prosedur jabatan; mangsa disaran membuat laporan polis segera.
Menurut kenyataan JAS Pahang, pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama dan identiti pegawai jabatan bagi membuat tempahan barangan sebelum memperdaya peniaga untuk tujuan tertentu.
JAS Pahang menegaskan jabatan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan individu atau pihak yang terlibat dalam kegiatan penipuan tersebut.
“JAS memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan nama jabatan bagi memperdaya orang awam dan peniaga.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta membuat semakan dengan pihak jabatan sekiranya menerima sebarang tawaran atau urusan yang menggunakan nama JAS, terutama yang melibatkan transaksi kewangan atau pembayaran,” menurut kenyataan itu.
JAS memaklumkan, semua urusan rasmi jabatan hanya dilaksanakan melalui saluran komunikasi dan prosedur rasmi yang ditetapkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau menjadi mangsa penipuan menggunakan nama JAS disaran segera membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut.
Kes penyamaran pegawai agensi kerajaan untuk memperdaya peniaga bukan perkara baharu dan pernah dilaporkan berlaku di beberapa negeri, termasuk membabitkan tempahan barangan serta pembekalan cenderamata yang tidak wujud.