
KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Seorang guru agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun, awal bulan ini.
- Mangsa buat laporan polis pada 14 Jun, dakwa kejadian berlaku di sebuah hotel pada 4 Jun jam 8 pagi.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017; hukuman hingga 20 tahun dan sebatan.
- Mahkamah benarkan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin, tertuduh perlu lapor diri polis setiap bulan, sebutan semula 23 Julai.
Tertuduh, Muhammad Izzuddin Mohmad Asari, 31 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Menurut fakta kes, mangsa membuat laporan polis pada 14 Jun lalu selepas mendakwa tertuduh melakukan perbuatan berkenaan di sebuah hotel di sini pada 8 pagi, 4 Jun lalu.
Untuk kedua-dua pertuduhan, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohammad, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkannya melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
23 Julai ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.