fb fb fb fb fb

Lebih 500 penduduk terjejas banjir di Perak

(Anggota APM membantu penduduk terjejas banjir di Kampung Simpang Tiga)

PERAK, 16 September - Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak meningkat kepada 532 orang daripada 154 keluarga setakat pukul 8.00 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan, lapan pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka melibatkan lima daerah.

Daerah Perak Tengah mencatatkan pemindahan terbesar iaitu seramai 224 penduduk daripada 67 keluarga di dua buah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Tiga Parit dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang Kiri.

Selain itu, dua PPS masih beroperasi di daerah Manjung iaitu di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai dan Dewan SMK Raja Shahriman Beruas yang menempatkan 168 penduduk daripada 49 keluarga.

Di daerah Hilir Perak pula, seramai 83 penduduk masih ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan SMK Abd Rahman Talib dan Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.

Dua lagi daerah yang turut terjejas adalah di Kerian serta Larut Matang dan Selama yang menyaksikan seramai 57 penduduk daripada 18 keluarga dipindahkan.

(Kediaman yang terjejas dinaiki air)

Media Baharu