fb fb fb fb fb

Lebih 2,400 kes keganasan rumah tangga direkod setakat April

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Sebanyak 2,467 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata isu keganasan rumah tangga memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

Ini kerana ia bukan hanya melibatkan penderaan fizikal, tetapi juga penderaan emosi dan psikologi yang seringkali tidak disedari.

"Setiap kes adalah sangat penting kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Sebab itu, kita melaksanakan program advokasi bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya kepada wanita.

"Mungkin ia tidak berlaku pada diri sendiri, tetapi boleh berlaku kepada jiran. Itulah yang kita harapkan melalui advokasi seperti yang kita laksanakan hari ini, agar kesedaran itu dapat ditingkatkan dalam kalangan mereka, terutama sekali kepada yang hadir pada hari ini," katanya.

Beliau memberitahu media selepas merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan Dan Keganasan Rumah Tangga, Akuwanita@KRT di sini.

KPWKM komited menangani isu keganasan rumah tangga dan akan terus memberi fokus melalui pelaksanaan program berbentuk pencegahan, perlindungan dan pemulihan, agar tiada individu tercicir daripada sistem sokongan yang tersedia.

Beliau turut menyeru masyarakat agar lebih prihatin terhadap isu ini dan tidak takut untuk tampil membuat laporan sekiranya mengesan kes penderaan di persekitaran mereka.

Sementara di Terengganu, kes keganasan rumah tangga pada tahun 2024, sebanyak 379 kes.

Manakala sehingga April 2025, sebanyak 104 kes dilaporkan, berbanding 130 kes dalam tempoh sama pada tahun 2024.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM