Laporan siasatan isu pemilikan saham Azam Baki diserah minggu depan

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil pada Sidang Media Mingguan di Putrajaya/Foto RTM

PUTRAJAYA, 27 Februari – Siasatan Jawatankuasa Khas berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kini di peringkat akhir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan penuh Jawatankuasa Khas diketuai Peguam Negara dijangka diserah kepada Jemaah Menteri minggu hadapan.
  • Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan susulan laporan polis terhadap dakwaan salah guna institusi SPRM.
  • Jemaah Menteri akan meneliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja sebelum ambil tindakan lanjut.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan penuh jawatankuasa siasatan yang diketuai Peguam Negara dijangka diserah kepada Jemaah Menteri minggu hadapan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri telah membincangkan secara mendalam dakwaan berkaitan pemilikan saham berkenaan serta tuduhan penyalahgunaan institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat.

“Jawatankuasa Khas siasatan yang diketuai Peguam Negara hampir selesai menjalankan siasatan dan akan menyerahkan laporan penuh kepada kerajaan minggu hadapan,” katanya pada Sidang Media Mingguan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, laporan polis juga telah dibuat berhubung dakwaan salah guna institusi SPRM dan siasatan kini dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, Jemaah Menteri turut mengambil maklum cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan akan meneliti laporan tersebut terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang tindakan lanjut.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Tan Sri Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Tan Sri Azam bagaimanapun menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 itu dibuat secara telus dan mematuhi prosedur.