
KINABATANGAN, 18 Januari – Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil kerusi DUN Lamag, Mohd Ismail Ayub tampil dengan manifesto ‘Lamag Wajah Baharu’ menekankan enam teras utama pembangunan serta dua inisiatif khas untuk rakyat di kawasan berkenaan.
- Fokus pada pembinaan perumahan melalui projek perumahan rakyat untuk menangani keperluan tempat tinggal.
- Memajukan ekonomi setempat dengan sektor pelancongan, kraftangan, keusahawanan dan kebudayaan.
- Menubuhkan institusi kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan meningkatkan peluang pekerjaan.
- Dua inisiatif khas: bantuan RM1,000 untuk pelajar tinggi dan RM1,000 untuk pasangan baru berkahwin.
Teras pertama menumpukan kepada pembinaan perumahan melalui pelaksanaan projek perumahan rakyat.
Teras kedua pula melibatkan pewujudan sektor baharu merangkumi pelancongan, kraftangan, keusahawanan dan kebudayaan sebagai pemacu ekonomi setempat.
Teras ketiga pula menekankan penubuhan institusi kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran, diikuti teras keempat yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan prasarana sukan.
Manakala teras kelima dan keenam, menaik taraf infrastruktur asas dan menjadikan pembangunan bandar baharu Seri Milian sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.
Selain itu, dua inisiatif khas turut diperkenalkan, iaitu pemberian bantuan RM1,000 kepada anak Lamag yang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi serta bantuan RM1,000 kepada pasangan baharu yang mendirikan rumah tangga.
Mohd Ismail berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Malam Galau di Kinabatangan.
Menurut beliau, pendekatan kempen yang dilaksanakan adalah secara bersemuka dan tersusun, termasuk kunjungan dari rumah ke rumah bagi menyampaikan misi serta hala tuju perjuangan kepada masyarakat setempat.