
PADANG BESAR, 18 Januari– Sebanyak 20,742 tong sampah disediakan kepada penduduk di 150 kampung di seluruh Perlis menerusi Program Sayangi Bandar Kita, Bersih Bersama MPKangar sehingga 15 Januari 2026, sebagai usaha merealisasikan sasaran Perlis Bersih.
- Pemberian 20,742 tong sampah kepada 150 kampung untuk pelupusan sisa domestik lebih teratur dan elak pembuangan haram.
- Inisiatif menyokong usaha mengekalkan kebersihan Perlis serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Perlis.
- Program dilaksanakan oleh MPKangar, dengan pengedaran khusus 832 tong sampah kepada 832 rumah di DUN Titi Tinggi.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar), Affendi Rajini Kanth berkata inisiatif itu bertujuan menyediakan kemudahan tong sampah kepada setiap kediaman bagi memastikan pelupusan sisa domestik dilakukan secara lebih teratur.
Usaha itu sekali gus mengelakkan pembuangan sampah secara tidak terkawal di tepi jalan.
Menurut beliau, langkah berkenaan bukan sahaja membantu mengekalkan tahap kebersihan negeri, malah memudahkan penduduk melupuskan sampah tanpa perlu ke lokasi jauh, di samping menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 serta Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.
Beliau berkata demikian pada Program Sayangi Bandar Kita, Bersih Bersama MPKangar yang diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, di sini dan dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Izizam Ibrahim.
Dalam pada itu, Affendi memaklumkan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, sebanyak 832 buah rumah di empat kampung menerima tong sampah masing-masing.
Kampung terlibat ialah Kampung Titi Tinggi Hulu, Kampung Kolam, Kampung Titi Tinggi Hilir serta Kampung Kok Mak/Padang Rawa.