
KUALA LUMPUR, 16 April – Kerajaan mengambil langkah untuk meringankan beban perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan memberi tumpuan kepada pengurangan kos di peringkat lapangan serta meningkatkan akses kepada pembiayaan dalam suasana cabaran global yang semakin meningkat.
- Strategi ABCD KUSKOP menekankan pengurangan birokrasi untuk kurangkan kos lapangan dan percepat produktiviti.
- Bank bersetuju perkenal produk PKS dan beri fleksibiliti melalui penstrukturan semula, pembiayaan semula atau moratorium.
- Perbincangan dengan TNB untuk kurangkan kos tenaga operasi PKS bagi bantu turunkan kos perniagaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata, kos di peringkat global seperti harga tenaga tidak dapat dikawal kerana ia merupakan komoditi global, namun usaha sedang dipergiat untuk menguruskan kos di peringkat domestik.
“Dalam kerangka strategi ABCD KUSKOP, iaitu mempercepat produktiviti, mengurangkan birokrasi, meningkatkan akses kepada modal dan membangunkan akses pasaran… komponen ‘B’ adalah pengurangan birokrasi. Birokrasi merupakan kos di peringkat lapangan.
“Bagaimana kita mengurangkan proses, tempoh masa, kos fi, permit dan lain-lain. Kita cuba membantu sebaik mungkin, bukan hanya melalui subsidi,” katanya dalam sidang media sempena Pengumuman Dividen Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad di sini, hari ini.
Beliau berkata kementerian turut berinteraksi dengan industri sokongan utama termasuk institusi kewangan bagi terus membantu perniagaan.
“Minggu lepas, saya bertemu pengurusan tertinggi 16 bank dan kesemuanya bersetuju untuk memperkenalkan lebih banyak produk PKS dalam beberapa bulan akan datang. Selain itu, bank juga bersetuju memberikan lebih fleksibiliti kepada syarikat yang menghadapi tekanan,” katanya.
Beliau berkata syarikat boleh berunding dengan bank secara kes demi kes untuk meneroka pilihan seperti penstrukturan semula, pembiayaan semula atau moratorium jika perlu.
“Saya telah mengeluarkan kenyataan selepas pertemuan itu bahawa syarikat boleh tampil dan berbincang dengan bank secara kes demi kes termasuk penstrukturan semula, pembiayaan semula atau moratorium jika perlu,” katanya.
Selain itu, kementerian turut mengadakan perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi meneliti langkah mengurangkan kos berkaitan tenaga untuk sektor perniagaan, khususnya PKS.
“Saya telah berbincang dengan TNB mengenai bagaimana kita boleh bekerjasama untuk membantu sektor ini, khususnya PKS, dalam mengurangkan kos operasi berkaitan penggunaan tenaga,” katanya.
Beliau berkata walaupun keadaan global kekal mencabar, usaha akan terus dilaksanakan untuk merealisasikan strategi yang dirangka di samping menggalakkan perniagaan memanfaatkan peluang daripada perubahan geopolitik ekonomi.