Kerjasama Malaysia–Palestin diperkasa demi kesejahteraan ummah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA, 16 April -Kerajaan sedang berusaha meneroka potensi kerjasama dengan Palestin dalam jangka masa pendek dan panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengukuhan hubungan strategik dan perluasan kolaborasi demi manfaat dan kesejahteraan ummah sejagat.
  • Kerajaan komited membantu serta memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza dan Baitulmaqdis.
  • Memperkukuh kerjasama hal ehwal agama: halal, zakat, waqaf, pendidikan Islam dan bantuan kemanusiaan.
  • Duta Palestin merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Malaysia kepada rakyat Palestin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, ia akan memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan strategik serta perluasan ruang kolaborasi demi manfaat ummah sejagat.

Katanya, kerajaan terus komited untuk membantu dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza ke arah mencapai keamanan dan kestabilan di wilayah berkenaan.

“Kita sedang berusaha meneroka bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan dalam jangka masa terdekat dan juga jangka panjang. Pada masa sama, kita turut meneliti ruang kerjasama yang dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin, bukan sahaja di Gaza tetapi juga di Baitulmaqdis..

“Ini kerana mereka ketika ini sedang menghadapi satu ujian yang besar. Di peringkat Hal Ehwal Agama, kita akan berusaha sebaik mungkin untuk menyalurkan bantuan kepada saudara-saudara kita di Palestin,” katanya kepada pemberita ketika menerima Kunjungan Hormat Delegasi Duta Besar Palestin ke Malaysia Jehad Fouad Alqdra, di sini.

Turut dibincangkan dalam pertemuan itu adalah, kerjasama bagi meneruskan kerjasama dalam aspek hal ehwal agama seperti halal, zakat , waqaf dan pendidikan Islam serta bantuan kemanusiaan.

Jehad Fouad Alqdra turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia, atas sokongan berterusan kepada Palestin.