Malaysia & Australia sokong seruan keamanan Pope Leo

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Anthony Albanese pada sidang media dan kenyataan bersama di Kompleks Perdana Putra/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 April Malaysia dan Australia menyatakan sokongan terhadap seruan global Pope Leo yang menyeru keamanan dengan menggesa negara-negara supaya mengutamakan keadilan dalam menyelesaikan konflik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seruan Pope Leo sebagai panggilan moral sejagat yang melangkaui agama, bertujuan mencegah penderitaan kemanusiaan.
  • Sokongan perlu datang daripada penganut semua agama dan negara; individu digalakkan menyokong pendirian Pope Leo.
  • Malaysia menolak keganasan dan ketidakadilan, berkongsi hasrat keamanan serta keadilan, khususnya bagi wilayah terjejas seperti Gaza dan Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesej Pope tersebut merupakan satu seruan moral bersifat sejagat yang melangkaui batas agama dan bermatlamat mencegah penderitaan kemanusiaan daripada berterusan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa seruan keamanan itu perlu disokong oleh penganut semua agama
dan negara.

“Albanese seorang Katolik, saya pula seorang Muslim. Namun kami berkongsi sesuatu yang sama, kami mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap Pope Leo dan Vatican.

“Pope Leo menyuarakan suara hati nurani dan kami mengikuti kenyataan Pope Leo serta berkongsi pendirian dan hasratnya untuk keamanan dan keadilan agar segala kekejaman dihentikan.

“Mana-mana individu wajar menyokong pendirian yang diambil oleh Pope tersebut. Kami mencadangkan agar masyarakat di seluruh dunia turut menyokong seruan untuk keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas Sidang Media Bersama antara Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Australia di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.

Datuk Seri Anwar berkata Malaysia berkongsi hasrat Pope untuk keamanan dan keadilan serta menolak keganasan dan ketidakadilan, khususnya di wilayah yang terjejas konflik seperti Gaza dan Asia Barat.