
KUANTAN, 16 April – Seramai 21 individu ditahan dari 172 pemeriksaan sepanjang pelaksanaan operasi bersepadu Op Guardian Bil. 1/2026 yang berakhir semalam.
- Operasi dua hari dikoordinasi Maritim Malaysia Pahang bersama MKN, melibatkan 85 pegawai dan 11 agensi di perairan Muara Kuantan hingga Sungai Tembeling.
- Jabatan Imigresen menjalankan 139 pemeriksaan, membawa kepada tangkapan 18 warga asing atas kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Akta Pasport.
- AADK tahan tiga lelaki positif opiat dan syabu; JKDM rampas minuman keras bernilai lebih RM2,000; KPDN keluarkan lapan notis; JTK keluarkan satu Saman F.
Operasi selama dua hari itu dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Pahang bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengarah Keselamatan negeri Pahang MKN Safrul Faiz Ab Satar dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi yang melibatkan 85 pegawai dan anggota daripada 11 agensi itu tertumpu di kawasan perairan Muara Kuantan hingga ke Sungai Tembeling.
“Hasil operasi itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mencatatkan jumlah pemeriksaan tertinggi iaitu sebanyak 139 pemeriksaan yang membawa kepada tangkapan 18 warga asing atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
“Selain itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menahan tiga lelaki tempatan yang dikesan positif dadah jenis opiat dan syabu,” katanya.
Menurut beliau, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merampas pelbagai jenama minuman keras yang dianggarkan bernilai lebih RM2,000 hasil daripada enam pemeriksaan yang dijalankan.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan lapan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, manakala Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan satu Saman F kepada majikan di bawah Akta Kerja 1955.