
ISKANDAR PUTERI, 16 April -Malaysia kekal berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran sebagai negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030, meskipun berdepan ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.
- Ekonomi digital disasarkan menyumbang 30% kepada KDNK menjelang 2030.
- Kerajaan mengkaji kesan terhadap ekonomi digital dan akan bentang persediaan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara setiap minggu.
- Sasaran KDNK sektor digital untuk 2025 ditetapkan pada 25.5% dan kini berada di landasan yang betul.
- Gobind mencadangkan MDEC bekerjasama dengan industri untuk kenal pasti teknologi baharu dan membuat persediaan masa hadapan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ekonomi digital disasarkan menyumbang sebanyak 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.
Pihaknya sedang mengkaji kesan yang bakal dihadapi terhadap ekonomi digital, selain membuat persediaan untuk dibentangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang berlangsung setiap minggu.
“Kita akan membuat persiapan yang diperlukan sekiranya terdapat sebarang kesan yang boleh menjejaskan visi tersebut pada masa hadapan. Namun, buat masa ini, pencapaian masih berada di landasan yang tepat.
“Bagi tahun ini, sektor digital turut mempunyai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Untuk tahun 2025, sasaran ditetapkan pada kadar 25.5 peratus dan setakat ini kita masih berada di landasan yang betul, tanpa sebarang isu.
“Ketika ini, tumpuan diberikan untuk terus bergerak ke hadapan dalam beberapa bulan akan datang, selaras dengan usaha mencapai sasaran menjelang tahun 2030,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pejabat Ekonomi Digital Wilayah
Selatan di Menara Iskandar Investment Berhad, Medini, di sini.
Pejabat berkenaan dibuka berdasarkan keperluan semasa, susulan perkembangan ekonomi digital yang pesat di Wilayah Selatan khususnya di Johor.
Gobind turut mencadangkan agar Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengadakan kolaborasi dengan pihak industri bagi mengenal pasti teknologi baharu yang akan digunakan pada masa hadapan serta melaksanakan persediaan ke arah tersebut.