KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Isu utama melibatkan hubungan dua hala, Gaza, serta kadar tarif menjadi topik perbualan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semasa perjalanan dari KLIA ke KLCC sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, pada Ahad lepas.
- Perbincangan dua hala antara PM Anwar dan Presiden Trump fokus pada hubungan, Gaza, dan tarif eksport semikonduktor.
- Anwar tekankan sokongan kepada inisiatif keamanan jiran Arab untuk penyelesaian Gaza yang adil dan mampan.
- Trump anggap ini fasa awal usaha keamanan dan menegaskan keseriusan kerja yang sedang dijalankan.
- Perbualan sulit antara pemimpin dihormati untuk memastikan komunikasi terbuka dan berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Trump sebagai seorang pendengar yang baik dan memberi penuh perhatian terhadap perbincangan berkenaan.
“Kami juga berbincang tentang Gaza, beliau maklum saya pernah bertemu pemimpin Hamas semasa di Doha. Saya menegaskan sokongan kepada inisiatif keamanan yang dicadangkan oleh jiran Arab. Ada taktik yang gagal, seorang antaranya dibunuh oleh Israel. Saya katakan sokongan saya harus memastikan keamanan yang mampan, adil dan komprehensif. Beliau menjawab bahawa ini fasa pertama dan mereka sedang bekerja keras, beliau juga menegaskan keseriusan usaha itu,” kata beliau pada sidang media pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh mengenai kadar tarif yang dikenakan dalam kadar 19 peratus, namun dimaklumkan Malaysia telah menikmati kadar sifar tarif kepada eksport semikonduktor Malaysia.
Jelas Perdana Menteri, perbualan sulit antara pemimpin wajar dihormati bagi memastikan komunikasi terbuka dapat diteruskan.
Pada Ahad lepas, Trump menjemput Datuk Seri Anwar menaiki kenderaan rasminya yang dikenali sebagai ‘The Beast’.