KPM siap sedia ke arah dominasi STEM, AI dalam pekerjaan global

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Sarina Salim

KUALA LUMPUR, 16 April– Keperluan tenaga kerja dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus meningkat, dengan sembilan daripada 10 peluang pekerjaan baharu secara global menjelang 2025 dijangka tertumpu dalam sektor berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan hampir RM20 juta kepada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan untuk melahirkan bakat berkemahiran tinggi dan kukuhkan ekosistem AI.
  • RM75 juta diperuntukkan untuk memperkasakan Rangkaian MyREN di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.
  • KPM tekankan perluasan tenaga kerja mahir digital bermula dari peringkat sekolah; prestasi STEM di peringkat pengajian tinggi kompetitif.
  • Penguasaan Bahasa Melayu harus diperkukuh serentak kemahiran Bahasa Inggeris untuk memenuhi keperluan dokumentasi teknikal dan kerjasama antarabangsa.

Justeru, Kerajaan melalui Belanjawan 2026 telah memperuntukkan hampir RM20 juta kepada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi serta memperkukuh ekosistem Kecerdasan Buatan (AI).

Selain itu, sebanyak RM75 juta disediakan untuk memperkasakan Rangkaian Myren di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Sarina Salim berkata peruntukan tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam meluaskan tenaga kerja mahir digital yang bermula dari peringkat sekolah.

“Prestasi STEM Malaysia di peringkat pengajian tinggi sememangnya kompetitif. Kira-kira 43.5% daripada pelajar universiti kita mendaftar dalam disiplin STEM. Ini merupakan antara kadar tertinggi di rantau Asia-Pasifik,” kata Sarina kepada pemberita pada Majlis 9th Malaysian Education and Learning Summit di sini, hari ini.

Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kerajaan turut menyasarkan pertambahan sehingga 60,000 jurutera bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) yang sedang berkembang pesat.

Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif universiti swasta yang giat menggalakkan penggunaan AI dan memperkukuh pendidikan STEM dalam pembelajaran.

Selain STEM, Sarina menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, tanpa mengetepikan kemahiran Bahasa Inggeris yang meluas digunakan dalam pasaran kerja global.

“Anak-anak kita perlu dilengkapi dengan penguasaan Bahasa Melayu dan kemahiran Bahasa Inggeris yang yakin, terutamanya bagi sektor yang bergantung kepada dokumentasi teknikal dan kerjasama antarabangsa. Ini adalah kunci untuk memperkukuh kedudukan Malaysia di persada dunia,” jelas beliau.

Sidang kemuncak bertemakan ‘Talent as Economic Infrastructure for Malaysia’s AI and Digital Economy’ itu membincangkan keperluan menyelaraskan sistem pendidikan dengan kemajuan pesat AI serta transformasi digital.