
KUALA LUMPUR, 16 April -Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Polis Kelantan supaya mempermudah urusan dokumentasi melibatkan 34 murid dan pelajar yang ditahan kerana merentas sempadan Malaysia-Thailand melalui laluan tidak sah untuk ke sekolah.
- Pihak berkuasa melanjutkan waktu operasi pintu sempadan bagi memudahkan pelajar ke sekolah.
- Setiap pergerakan rentas sempadan memerlukan dokumen perjalanan sah kerana risiko penyeludupan, dadah dan pemerdagangan manusia.
- Kerajaan akan membantu pelajar mendapatkan dokumen sah supaya dapat menggunakan laluan dibenarkan tanpa menjejaskan keselamatan negara.
Menurut beliau, arahan itu diberikan bagi memastikan pelajar terlibat dapat menggunakan laluan sah bagi meneruskan persekolahan.
Pada masa sama, pihaknya menekankan keperluan mengimbangi pendekatan tersebut terhadap pelajar dengan keutamaan menjaga keselamatan sempadan.
“Dalam menangani kes melibatkan pelajar, kita perlu menguruskan secara berhikmah kerana mereka datang untuk tujuan pendidikan.
“Namun pada masa sama, kita tidak boleh memandang ringan aspek keselamatan kerana terdapat juga kes penyeludupan dadah yang melibatkan penggunaan pelajar,” katanya dalam sidang media sempena Inisiatif Mekar Didik Program Kaunter Lorong.
Menurut beliau, pihak berkuasa sebelum ini turut mengambil langkah melanjutkan waktu operasi pintu sempadan bagi memudahkan pergerakan pelajar ke sekolah.
Bagaimanapun, tegasnya, setiap pergerakan merentasi sempadan tetap memerlukan dokumen perjalanan yang sah berikutan risiko jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Sehubungan itu, kerajaan akan terus membantu pelajar terlibat mendapatkan dokumen sah bagi memastikan mereka dapat menggunakan laluan yang dibenarkan tanpa menjejaskan aspek keselamatan negara.