Jangan perlekeh diplomasi negara demi politik sempit – Tunku Nashrul

Pengarah Komunikasi MPN KEADILAN Kedah, Tunku Nashrul Abaidah/BERNAMA

ALOR SETAR, 16 April– Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah menyelar kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi, Dr. Haim Hilman dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berhubung pendekatan diplomasi kerajaan Persekutuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Diplomasi kini pantas, kompleks dan saling berkait; kepimpinan menuntut komunikasi langsung serta tindakan segera antara pemimpin dunia.
  • Diplomasi tidak lagi terikat kepada kerangka formal; panggilan telefon boleh memainkan peranan strategik dan segera.
  • Diplomasi MADANI terbukti berkesan, mengutamakan keselamatan serta kepentingan negara dalam situasi krisis.
  • Jangan memperlekeh usaha diplomasi demi politik sempit kerana ia memberi kesan langsung kepada rakyat.

Pengarah Komunikasi MPN KEADILAN Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata hujah yang dikemukakan itu tidak mencerminkan realiti semasa dunia, yang bergerak dalam landskap krisis yang pantas, kompleks dan saling berkait.

Menurut beliau, kepimpinan masa kini menuntut komunikasi langsung dan segera antara pemimpin dunia, tanpa perlu sekadar menunggu sidang rasmi untuk bertindak.

“Diplomasi kini tangkas dan tidak lagi terikat kepada kerangka formal semata-mata. Sebagai contoh, Perdana Menteri menerima panggilan daripada Perdana Menteri Pakistan lebih awal sebelum tampil sebagai orang tengah rundingan Amerika Syarikat-Iran,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tunku Nashrul turut menyifatkan dakwaan bahawa hubungan melalui panggilan telefon hanya sebagai “diplomasi biasa” adalah satu hujah yang dangkal.

Beliau menegaskan, keberkesanan pendekatan strategik tersebut terbukti apabila Malaysia menjadi antara negara terawal yang berjaya memastikan kapalnya melepasi laluan ketika ratusan kapal lain masih terkandas.

“Inilah bukti keupayaan Diplomasi MADANI yang sentiasa mendahulukan keselamatan serta kepentingan negara,” jelas beliau.

Justeru, beliau menasihatkan agar mana-mana pihak tidak memperlekehkan usaha diplomasi demi kepentingan politik sempit, terutama apabila ia memberi kesan langsung kepada rakyat.