Empat pekerja cedera, letupan peralatan industri

Foto hiasan

KUANTAN, 16 April – Empat lelaki cedera dalam satu kejadian kemalangan di tempat kerja yang dipercayai berpunca daripada letupan melibatkan peralatan industri di sebuah kilang besi di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan menggunakan ambulans syarikat untuk rawatan lanjut.
  • Sepasukan anggota Balai Polis Gebeng digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
  • Polis bekerjasama dengan pengurusan kilang dan Agensi Keselamatan serta Kesihatan Pekerjaan untuk kenal pasti punca.
  • Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi dan diminta menyalurkan sebarang maklumat kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.30 pagi, yang melibatkan seorang warga tempatan dan tiga warga asing.

“Kesemua mangsa mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan ambulans syarikat untuk mendapatkan rawatan lanjut”, katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati insiden berkenaan dipercayai berpunca daripada satu letupan yang melibatkan peralatan industri di dalam premis terbabit.

Katanya, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Gebeng telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

Polis kini sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk pengurusan kilang serta Agensi Keselamatan dan Kesihatan pekerjaan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.