31 individu terima dokumen pengenalan diri

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 April – Seramai 31 individu menerima dokumen pengenalan diri melalui inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani isu keciciran dokumen murid di peringkat akar umbi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif KDN, JPN melalui MEKAR Didik dan Program Kaunter Lorong guna pendekatan proaktif turun padang.
  • Kerajaan komited membantu mereka tanpa dokumen bagi memastikan akses pendidikan, pekerjaan dan rawatan kesihatan tidak terganggu.
  • JPN telah menyelesaikan 12,101 kes keciciran dokumen murid sejak Jun 2025 secara berperingkat.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, daripada jumlah itu, 19 penerima merupakan murid Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dan selebihnya merupakan penduduk sekitar Chow Kit.

Usaha berkenaan dilaksanakan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Didik dan Program Kaunter Lorong, yang menekankan pendekatan lebih proaktif di lapangan.

“Kerajaan komited membantu masyarakat yang berdepan isu dokumen tidak lengkap bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada akses pendidikan, pekerjaan dan rawatan kesihatan.

“Ini kerana pelbagai inisiatif bantuan kerajaan memerlukan MyKad, dan jika isu ini tidak diselesaikan segera, golongan terbabit berisiko terus tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Mekar Didik dan Program Kaunter Lorong di ibu negara.

Inisiatif MEKAR Didik yang dilancarkan sejak 17 November 2024 bertujuan memastikan tiada murid tercicir daripada arus pendidikan perdana, dengan dokumen pengenalan diri sebagai kunci utama bagi menjamin akses pendidikan yang sewajarnya.

Melalui kolaborasi strategik antara KDN, JPN dan Kementerian Pendidikan, pendekatan kini beralih daripada kaunter statik kepada kaedah turun padang dengan menyantuni sekolah aliran perdana serta sekolah berkeperluan khas termasuk Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).

Setakat ini, JPN telah menggerakkan usaha menyelesaikan 12,101 kes keciciran dokumen murid di seluruh negara yang dikenal pasti sejak Jun 2025, dengan kes-kes berkenaan kini diambil tindakan dan diselesaikan secara berperingkat.

Program Kaunter Lorong yang dilaksanakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengaplikasikan pendekatan ‘Whole-of-Society’, dengan NGO berperanan mengenal pasti individu yang tercicir di kawasan sukar dicapai sebelum Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaksanakan proses pendaftaran rasmi.