fb fb fb fb fb

KPKT lulus RM2.65 juta, selenggara 20 rumah ibadat bukan Islam di Kuala Lumpur

Nga Kor Ming pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan bagi inisiatif penyelenggaraan RIBI seluruh negara, di St Mary’s Cathedral di sini/ FB KPKT Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Disember-  Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM2.65 juta bagi penyelenggaraan 20 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di Kuala Lumpur.

Menurut Menterinya, Nga Kor Ming sejumlah enam daripada 20 RIBI itu, telah menerima bantuan sebanyak RM294,029 manakala penyaluran baki permohonan itu akan diteruskan pada 2024.

Jelasnya, KPKT telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Inisiatif Penyelenggaraan RIBI, yang melibatkan sejumlah RM50 juta bantuan kewangan bagi 370 permohonan di seluruh negara menerusi Belanjawan 2023.

Ia bertujuan menyelenggara dan membaik pulih rumah ibadat masing-masing dan memberikan keselesaan kepada penganutnya untuk beribadat.

"Ia menunjukkan betapa komited kerajaan kita, sentiasa membela di mana apabila kita menghormati agama Islam sebagai agama rasmi tapi kepercayaan agama lain turut dihormati dan disanjung dan ini lah Malaysia yang sebenar yang kita bawa supaya setiap rakyat Malaysia, pelbagai kaum dan agama sentiasa rasa mereka dihormati,disayangi kerana sentiasa menjaga perpaduan dalam kepelbagaian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan bagi inisiatif penyelenggaraan RIBI seluruh negara, di St Mary’s Cathedral di sini, hari ini. 

Semua permohonan yang diluluskan bagi kerja-kerja pembaikan, pengubahsuaian, penyelenggaraan dan kerja-kerja kecemasan di rumah ibadat, melalui proses saringan pihak urus setia dan dinilai oleh Pasukan Pemantauan dan Penilaian serta pertimbangan Jawatankuasa Petugas Khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPKT.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI