KPKM pantau harga sayur di Kelantan

Datuk Seri Mohamad Sabu memetik sayur-sayuran selepas merasmikan Pusat Informasi Pertanian Kebuniti di Wisma Tani/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Mei – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mendapatkan laporan segera daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), susulan dakwaan kenaikan harga sayur di Kelantan sehingga RM2 sekilogram.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian akan memantau rapat situasi harga sayur di Kelantan.
  • Harga sayur meningkat di beberapa pasar Kelantan akibat cuaca panas berpanjangan dan kenaikan kos diesel.
  • Kenaikan harga baja antara faktor utama menekan kos bekalan mentah.
  • Kerajaan akan melaksanakan intervensi mengikut kemampuan; bekalan baja kini mencukupi tetapi harga akan dipantau.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini tiada kenaikan mendadak harga sayur dilaporkan di kebanyakan kawasan termasuk di Lembah Klang, kecuali melibatkan beberapa jenis sayuran tertentu.

“Pihak kementerian akan memantau rapat situasi di Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Informasi Pertanian Kebuniti atau Gardentopia di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan harga sayur di beberapa pasar di Kelantan meningkat sehingga RM2 sekilogram berikutan cuaca panas berpanjangan, selain kesan kenaikan kos diesel.

Mengulas mengenai isu inflasi makanan, beliau berkata, kenaikan harga baja antara faktor utama yang memberi tekanan kepada kos bekalan mentah dan situasi itu merupakan cabaran global yang sedang dihadapi oleh banyak negara.

Menurut beliau, isu berkenaan turut dibincangkan di peringkat antarabangsa termasuk melibatkan Pertubuhan Manakan dan Pertanian (FAO), susulan konflik di beberapa kawasan pengeluar bahan mentah seperti fosfat.

“Kerajaan akan melaksanakan intervensi dari semasa ke semasa mengikut kemampuan semasa negara,” katanya.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bekalan baja di Malaysia ketika ini masih mencukupi meskipun harga input pertanian dijangka terus dipantau dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

“Bekalan cukup, cuma kita kena lihat dari sudut harga dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang. Soal bekalan di Malaysia ini, Alhamdulillah, pada kami di pihak kementerian nampak keadaannya cukup. Cuma harga itu kita pantau dari semasa ke semasa,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.