KPDN perluas pelaksanaan SIM sempena Bulan Kebangsaan

Majlis Pelancaran Program Servis Ihsan MADANI (SIM) 2026

PUTRAJAYA, 27 Ogos – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas pelaksanaan Program Servis Ihsan MADANI (SIM) dengan menawarkan subsidi RM70 bagi perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan di 531 pusat servis dan bengkel terpilih di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengguna boleh menempah perkhidmatan penyelenggaraan melalui aplikasi penyedia: UFirst Perodua Passport, Proton Link 2.0, dan Setel.
  • Program menggalakkan penyelenggaraan berkala untuk memastikan kenderaan selamat dan mengurangkan kos penyelenggaraan.
  • KPDN bekerjasama dengan Perodua, Proton dan PETRONAS AutoExpert bagi memperluas manfaat kepada rakyat.
  • KPDN juga menganjurkan HKHM dan inisiatif seperti Jualan Ihsan RAHMAH 9.9 dengan diskaun 10 hingga 30 peratus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan memaklumkan, perluasan program sempena Bulan Kebangsaan 2026 itu membolehkan lebih ramai pemilik kenderaan menikmati manfaat dalam usaha mengurangkan kos penyelenggaraan.

“Pelaksanaan SIM 2026 sempena Bulan Kebangsaan 2026, subsidi sebanyak RM70 ditawarkan kepada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan di pusat servis Perodua, Proton dan PETRONAS AutoExpert yang mengambil bahagian, tertakluk kepada terma dan syarat.

“Pengguna yang ingin mendapatkan manfaat daripada tawaran ini boleh membuat tempahan menerusi aplikasi yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan masing-masing, iaitu aplikasi UFirst Perodua Passport bagi Perodua, Proton Link 2.0 bagi Proton dan Setel bagi PETRONAS,” menurut kenyataan itu.

Perluasan program itu merupakan antara ikhtiar KPDN bersama rakan strategik industri dalam menterjemahkan semangat “Malaysia MADANI:
Kesejahteraan Dinikmati” melalui inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Selain membantu mengurangkan sebahagian kos penyelenggaraan kenderaan, program ini juga diharapkan dapat menggalakkan pemilik kenderaan melakukan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

“KPDN menghargai komitmen Perodua, Proton dan PETRONAS AutoExpert dalam menjayakan Program SIM 2026. Kerjasama Kerajaan dan industri seperti ini akan terus diperkasakan bagi memperluaskan manfaat kepada rakyat serta melengkapi ikhtiar Kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup,” tambah kenyataan itu.

Kementerian itu turut mengadakan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM 2026) peringkat KPDN dengan memaknai tema Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 iaitu “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.”

Selain menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan kepada tanah air, tema itu membawa aspirasi agar kemajuan dan pembangunan negara diterjemahkan kepada kesejahteraan yang dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh rakyat.

Antara pengisian HKHM KPDN 2026 ialah Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Bulan Kebangsaan, Pertandingan Eksplorasi Rona Batik, Cabaran Patriotik: Aku Kasih Malaysia dan Pertandingan Keceriaan Pejabat HKHM 2026.

KPDN turut menawarkan manfaat istimewa kepada rakyat termasuk inisiatif Jualan Ihsan RAHMAH 9.9 secara dalam talian pada 9 September dengan menawarkan diskaun 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan terpilih.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.