
SHAH ALAM, 27 Ogos – Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan ‘roller coaster’ di sebuah taman tema di Subang Jaya, termasuk kemungkinan berlaku kecuaian atau unsur sabotaj.
- Beberapa agensi termasuk Bomba dan JKKP menjalankan siasatan teknikal, setiap agensi mengikut bidang kuasa sebelum membuat perbandingan keputusan.
- Hanya dua mangsa masih dirawat di hospital tanpa kecederaan serius; mangsa lain dibenarkan pulang termasuk rawatan pesakit luar.
- Tarikan ditutup sementara untuk siasatan; polis mengambil keterangan petugas dan mangsa serta mencari maklumat tambahan di lokasi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan turut dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, khususnya membabitkan aspek teknikal.
Setiap agensi akan menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa dan kepakaran masing-masing sebelum hasil siasatan dibandingkan bagi menentukan punca sebenar kejadian.
“Sekiranya dalam proses siasatan terdapat sebarang maklumat baharu yang menunjukkan unsur-unsur lain, kita akan turut menyiasatnya. Bagaimanapun, siasatan itu tidak terlalu bersifat teknikal. Sebab itulah kita memerlukan kepakaran daripada agensi-agensi sahabat yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan hanya dua mangsa masih menerima rawatan di hospital, namun kedua-duanya tidak mengalami kecederaan serius.
Mangsa lain telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan, termasuk sebagai pesakit luar.
‘Roller coaster’ berkenaan juga ditutup sementara bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan di lokasi kejadian.
Polis turut telah mengambil keterangan daripada petugas yang mengendalikan ‘roller coaster ‘serta mangsa yang terlibat, namun masih berusaha mendapatkan beberapa maklumat tambahan berkaitan kejadian.