
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 139 ekonomi dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2025, menunjukkan kedudukan kukuh negara dalam aspek bakat serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
- Negara berdepan cabaran mengkomersialkan hasil R&D supaya sampai ke pasaran.
- NICE 2026 memadukan industri, inovator, pelabur dan akademia untuk mempercepatkan pengkomersialan inovasi.
- Ekspo menghasilkan 18 MoU/MoA bernilai RM157.2 juta dan Anugerah MCY dengan hadiah RM1 juta mengiktiraf pengkomersialan.
Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, cabaran utama negara adalah memastikan lebih banyak hasil penyelidikan dan inovasi berjaya dikomersialkan serta sampai ke pasaran.
“Kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa memang bagus. Kedudukan kita bagus, bakat kita bagus, R&D kita pun bagus. Namun, kita tak cukup produk R&D yang dikomersialkan, yang sampai ke pasaran dan itu sebabnya kita nak adakan program seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.
NICE 2026 menjadi platform menghubungkan syarikat industri dengan inovator, pelabur, penyelidik dan pihak akademia bagi mempercepatkan proses pengkomersialan, sekali gus membuka laluan kepada hasil R&D tempatan untuk diterima pakai oleh industri serta menembusi pasaran.
“Ini adalah tempat terbaik untuk mengadakan kerjasama antara pelabur, penyelidik dan pihak akademia. Jadi, ini merupakan platform yang kita wujudkan supaya pada masa akan datang, inovasi kita mempunyai pelabur atau pihak yang bersedia untuk menerima dan mengkomersialkan inovasi tersebut.
“Sebelum kita menjalankan penyelidikan, sudah ada pihak yang menunggu untuk membeli hasil inovasi berkenaan. Itu merupakan matlamat utama kita supaya produk-produk R&D dapat dikomersialkan,” katanya lagi.
Pendekatan itu penting bagi memastikan inovasi yang mempunyai potensi tidak terhenti pada peringkat penyelidikan atau prototaip, sebaliknya dapat diterima industri dan dibawa ke pasaran.
NICE 2026 bertemakan ‘Misi Ke Pasaran. Malaysia Ke Dunia’ dan menghimpunkan lebih 8,000 peserta dan pengunjung, selain menampilkan lebih 180 pameran inovasi dan teknologi.
Ekspo tiga hari itu memberi tumpuan kepada enam bidang utama, termasuk Advanced & Future Industries, HealthTech, Bioeconomy, DeepTech, Commercialisation dan Market Access.
Secara keseluruhan, NICE 2026 turut menyaksikan 18 memorandum persefahaman (MoU), memorandum perjanjian (MoA) dan kerjasama strategik bernilai RM157.2 juta, merangkumi peluasan pasaran, pembuatan termaju, teknologi kesihatan, transformasi digital, kerjasama penyelidikan serta penerimagunaan teknologi.
Antara kerjasama itu ialah pertukaran MoU antara Medan Adopsy Sdn. Bhd. dari Malaysia dan PT Tredo Media dari Indonesia bernilai RM60.4 juta bagi kerjasama strategik dalam pemasaran dan pengedaran eksklusif produk Rapid Growth di Republik Indonesia.
NICE 2026 juga menampilkan penyampaian Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2025 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM1 juta kepada para pemenang, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dalam bidang inovasi, pengkomersialan dan penerimagunaan teknologi.
Anugerah itu mengiktiraf penyelidik, inovator dan teknousahawan yang berjaya menterjemahkan hasil penyelidikan dan inovasi kepada produk, teknologi serta perkhidmatan yang memberi impak sosioekonomi.
Anugerah MCY merangkumi Anugerah Keseluruhan serta lima kategori, iaitu Anugerah Pencapaian Pengkomersialan, Anugerah Inovator Baharu, Anugerah Usahawan Penyelidik, Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan dan Anugerah Inovasi Sosial.
Materials In Works (M) Sdn. Bhd. dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keseluruhan dan pemenang Anugerah Inovator Baharu menerusi inovasi Recovered Cellulose Pulp (RCP).
Pemenang bagi kategori lain ialah Ingeniouscity Engineering Solutions Sdn. Bhd., Twin Catalyst Sdn. Bhd., Bambusoideae Technology Sdn. Bhd. dan Geomax Rubber Innovative Products Sdn. Bhd.
Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum itu turut merasmikan program berkenaan.