
SERI NEGERI, 27 Ogos – Melaka bakal mewujudkan ‘Lebuh Raya Digital’ bagi meningkatkan kelajuan, kapasiti dan kestabilan perkhidmatan internet.
- Kerjasama MITCH dan Maxis untuk pemasangan gentian optik pada 151 menara, melibatkan 200 km gentian dan pelaburan RM30 juta.
- Peratus menara MITCH yang dilengkapi gentian optik meningkat dari kira-kira 40% kepada 80%.
- Inisiatif sejajar dengan Smart Melaka Blueprint 2035, menjadikan infrastruktur digital asas kepada pembangunan negeri dan kehidupan harian.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu sekali gus bagi memenuhi keperluan rakyat serta pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata pembangunan berkenaan turut menyaksikan peralihan daripada penggunaan teknologi ‘microwave’ yang mempunyai kapasiti dan kelajuan lebih terhad kepada rangkaian gentian optik yang menawarkan prestasi lebih baik.
Jelasnya, kesalinghubungan digital kini bukan lagi sekadar kemudahan sampingan, sebaliknya telah menjadi satu keperluan asas dalam pembangunan negeri dan kehidupan seharian rakyat.
“Kita nak cuba mewujudkan Melaka sebagai ‘Lebuh Raya Digital’ yang pertama di Malaysia. Sebelum ini, kesalinghubungan melalui menara menggunakan teknologi microwave yang mempunyai kelajuan lebih terhad.
“Namun, dengan sambungan terus melalui gentian optik, kelajuan internet dapat dipertingkatkan dengan lebih baik. Selain itu, gentian optik mempunyai pelbagai kelebihan berbanding teknologi microwave, termasuk dari segi kapasiti dan prestasi”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Majlis Pertukaran Perjanjian Kerjasama Strategik : Fiberisasi Menara Telekomunikasi Bagi Memacu Transformasi Digital Di Seluruh Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Menurut Datuk Seri Ab Rauf, kolaborasi antara Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MITCH) dan Maxis Berhad bukan sekadar pemeteraian perjanjian, sebaliknya menjadi antara langkah penting selari dengan aspirasi Smart Melaka Blueprint 2035, yang meletakkan infrastruktur digital sebagai salah satu asas kepada pembangunan Melaka sebagai sebuah negeri pintar.
Menerusi kolaborasi antara MITCH dan Maxis, sebanyak 151 menara telekomunikasi tambahan akan dilengkapi sambungan gentian optik secara berperingkat.
Inisiatif berkenaan akan melibatkan pemasangan gentian optik sepanjang kira-kira 200 kilometer dengan nilai pelaburan sebanyak RM30 juta.
Langkah itu akan meningkatkan kadar menara MICTH yang dilengkapi rangkaian gentian optik daripada kira-kira 40 peratus kepada 80 peratus.
Liputan 4G di kawasan berpenduduk di Melaka telah mencapai hampir 100 peratus, manakala liputan 5G berada pada 89.9 peratus.