
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Malaysia mengintegrasikan sistem air dan tenaga menerusi pendekatan ‘Regenerative Water-Energy Nexus’ bagi memperkukuh daya tahan negara serta menyokong pertumbuhan mampan.
- NETR memperluas penggunaan tenaga bersih, memperkukuh keselamatan tenaga dan merancakkan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.
- Pendekatan bersepadu tumpu tiga keutamaan termasuk asas keselamatan air negara kukuh, AIR2040 dan Dasar Air Tebus Guna untuk pulih nilai dan inovasi berterusan.
- Pelancaran SEA 2026 di MITEC dorong kolaborasi serantau, peluang inovasi hijau dan pertumbuhan perniagaan; delegasi dari Taiwan, India, Filipina hadir.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pendekatan itu menggabungkan usaha memperkukuh keselamatan dan produktiviti sumber air dengan peralihan kepada tenaga mampan.
Menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia terus memperluas penggunaan tenaga bersih, memperkukuh keselamatan tenaga dan merancakkan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.
“Apabila digabungkan dengan usaha memperkukuh keselamatan serta produktiviti sumber air, pendekatan ini membentuk Regenerative Water-Energy Nexus, suatu kerangka bersepadu yang menghubungkan sistem air dan tenaga bagi meningkatkan daya tahan, menjana semula nilai serta menyokong pertumbuhan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran Sustainability Environment Asia (SEA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Datuk Seri Abdul Rahman berkata pendekatan bersepadu itu berteraskan tiga keutamaan nasional yang saling berkait, termasuk membina asas keselamatan air negara yang kukuh dan mampan.
Usaha itu turut diperkasa menerusi Sektor Air 2040 (AIR2040) serta pembangunan Dasar Air Tebus Guna. Daya saing negara pada masa hadapan bergantung kepada keupayaan menggunakan sumber secara bijaksana, memperoleh semula nilai dan menerapkan inovasi secara berterusan.
“Persoalannya bukan lagi sekadar bagaimana untuk menghasilkan lebih banyak, tetapi bagaimana untuk mencipta nilai lebih tinggi daripada setiap unit tenaga, setiap titisan air dan setiap sumber yang kita miliki,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Projek Derrisen Sdn Bhd, Karen Goi berkata SEA, yang ditubuhkan pada 2023, bertujuan menjadi pemangkin serantau ke arah masa depan mampan selain mengetengahkan peluang inovasi dan pulangan perniagaan menerusi aplikasi hijau serta ekonomi hijau.
“SEA akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi membayangkan semula serta mencipta bersama peluang pertumbuhan,” katanya.
Edisi keempat pameran berkenaan turut menerima penyertaan delegasi dari Taiwan, India dan Filipina.