
PUTRAJAYA, 13 April – Kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan susulan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat yang semakin meruncing.
- Kerajaan menyampaikan maklumat krisis tenaga secara berterus-terang untuk mempersiapkan rakyat tanpa menimbulkan panik.
- Rakyat diingatkan supaya tidak terlalu selesa atau leka dan perlu bersedia menghadapi kemungkinan keadaan lebih mencabar.
- Perbelanjaan subsidi membebankan fiskal, namun kerajaan masih mampu meneruskan pembiayaan sementara bagi menjaga kesejahteraan.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kerajaan mengambil pendekatan seimbang dalam menyampaikan maklumat berkaitan krisis tenaga global iaitu secara berterus-terang.
“Justeru, cabaran kepada kerajaan khususnya dari segi komunikasi adalah untuk mempersiapkan rakyat menghadapi sebarang kemungkinan tanpa menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.
“Pada masa yang sama, kerajaan juga tidak mahu rakyat bersikap terlalu selesa atau leka terhadap perkembangan semasa. Ini cabaran,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan mahu rakyat memahami realiti yang sedang dihadapi tanpa menimbulkan kekeliruan atau tekanan yang tidak perlu dalam masyarakat.
“Pada masa ini, perbelanjaan subsidi mencecah sekitar enam bilion ringgit setiap bulan. Dari sudut fiskal, jumlah ini sememangnya memberi beban yang besar kepada kerajaan.
“Kerajaan menegaskan bahawa kebajikan rakyat kekal sebagai keutamaan dan masih berupaya untuk meneruskan pembiayaan subsidi dalam tempoh ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya lagi.
Menurut Datuk Seri Saifuddin, kesan belum dirasai secara menyeluruh kerana bekalan bagi bulan April, Mei dan Jun masih mencukupi.
“Namun, sekiranya konflik berterusan, rakyat perlu bersedia untuk menjangkakan keadaan yang lebih mencabar,” katanya lagi.