
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Kerajaan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi meneliti isu kenaikan kos penerbangan serta keselamatan jemaah haji Malaysia susulan konflik di Asia Barat.
- Jawatankuasa khas TH menilai implikasi kos, harga dan langkah keselamatan bagi kemashlahatan jemaah haji.
- Perkara akan dibawa ke jawatankuasa khas Kabinet untuk mencapai keputusan terbaik demi kepentingan dan kebajikan jemaah haji.
- MAIWP menyalurkan RM75,000 keseluruhan, termasuk bantuan RM30,000 kepada 100 asnaf di Wilayah Persekutuan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr.Zulkifli Hasan berkata, perbincangan itu turut melibatkan jawatankuasa khas yang diwujudkan lebih awal oleh TH bagi menilai keseluruhan implikasi termasuk aspek kos, harga dan keselamatan.
“Tabung Haji sudah pun ada perkiraan. Kita akan bagi yang sebaik-baiknya kepada jemaah haji kita.
“Jadi doakan supaya perbincangan akan dapat memastikan kemashlahatan dan juga paling penting keselamatan jemaah haji kita,” katanya.
Menurut beliau, perkara berkenaan juga akan dibawa untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa khas Kabinet bagi memastikan keputusan terbaik dapat dicapai demi kepentingan dan kebajikan jemaah haji Malaysia.
Mengenai kuota haji, setakat ini jumlah kuota jemaah haji Malaysia kekal seperti ditetapkan kerajaan dan kerajaan Arab Saudi.
Malaysia juga telah bersedia sepenuhnya untuk memastikan perjalanan ibadah para jemaah tahun ini berjalan lancar.
Dr Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan majlis Rahmah Madani Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kuala Lumpur.
Seramai 100 orang asnaf dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima bantuan berjumlah keseluruhan RM30,000 berupa kelengkapan pakaian dan keperluan hari raya.
Secara keseluruhan, MAIWP telah menyalurkan sebanyak RM75,000 bagi menjayakan program berkenaan di seluruh Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Nurul Aida Imran yang juga ibu tunggal melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diterima.
“Dapatlah mereka (anak-anak) memakai baju baharu. Semua empat sedondon. Alhamdulillah.”
Seorang lagi ibu tunggal, Tengku Fatin Farhana Tengku Mohd Safien juga melahirkan rasa gembira.
“Bersyukur sangat sebab biasa dapat beli barangan keperluan asas sahaja untuk beraya. Tapi, kali ini ada baju baru, kasut dan aksesori untuk ziarah-menziarahi.”