
KUALA LUMPUR, 10 Mac– Umat Islam diseru untuk mendoakan keamanan sejagat, khususnya di Asia Barat yang kini berdepan konflik yang kian meruncing, terutamanya ketika memasuki fasa 10 malam terakhir Ramadan.
- Dr. Zulkifli menyeru umat Islam menunaikan solat hajat pada Jumaat ini bagi memohon kedamaian dan kesejahteraan di Asia Barat.
- Beliau membuat seruan itu menerusi hantaran di Facebook.
- Malaysia mengaktifkan operasi evakuasi rasmi untuk membawa pulang warganegara yang terkandas di zon konflik Asia Barat.
- Penerbangan khas Malaysia Airlines MH8502 ke Jeddah bertindak sebagai transit utama sebelum pulang menerusi sektor MH8503.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan turut menyarankan orang ramai untuk menunaikan solat hajat pada Jumaat ini bagi memohon kedamaian dan kesejahteraan di wilayah berkenaan.
“Umat Islam diseru untuk memanfaatkan sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan untuk berdoa bagi keamanan dunia.”
“Justeru itu, saya menyeru semua untuk menunaikan solat hajat untuk kedamaian Asia Barat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Malaysia secara rasmi mengaktifkan operasi evakuasi bagi membawa pulang warganegara yang terkandas dari zon konflik Asia Barat.
Penerbangan khas Malaysia Airlines MH8502, berlepas dari Kuala Lumpur ke Jeddah, Arab Saudi, hari ini.
Pesawat MH8502 dijangka mendarat di Jeddah pada pukul 8.50 malam waktu tempatan sebelum berlepas pulang ke tanah air menerusi sektor MH8503 pada pukul 10.20 malam.
Kumpulan yang dibawa pulang merangkumi rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara serantau dan telah dipindahkan ke Jeddah sebagai pusat transit utama.