Kor Ming gesa tindakan tegas terhadap provokasi agama, hargai nikmat keamanan

Menteri KPKT, Nga Kor Ming/BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Mac– Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja melakukan provokasi melampau menggunakan sentimen agama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba merosakkan keharmonian negara.
  • Keamanan dan perpaduan perlu dihargai sebagai nikmat penting terutama ketika konflik global sedang berlaku.
  • Isu ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, dan KPKT menyampaikan bantuan Aidilfitri serta program kerohanian kepada kakitangan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba merosakkan keharmonian negara demi kepentingan tertentu.

Tambahnya, konflik global yang berlaku ketika ini seharusnya menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia bahawa keamanan dan kestabilan yang dinikmati adalah nikmat yang sangat berharga.

“Tindakan tegas wajib diambil terhadap individu yang sengaja menghina agama, termasuk perbuatan biadab memijak kitab suci al-Quran, menghina simbol kesucian agama Hindu, serta pelbagai bentuk provokasi lain.”

“Ketika dunia berdepan konflik dan ketegangan, keharmonian serta perpaduan adalah nikmat yang sangat besar untuk dihargai. Justeru, kita tidak akan membiarkan sesiapa sahaja memporak-perandakan keharmonian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih Ramadan KPKT di Putrajaya, hari ini.

Menurut Kor Ming, perkara tersebut akan dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok bagi memastikan keamanan negara terus dipelihara daripada sebarang ancaman ekstremisme.

Pada majlis tersebut, beliau bersama pengurusan tertinggi kementerian menyempurnakan penyampaian sumbangan Aidilfitri berupa wang tunai dan bakul bantuan kepada 108 warga KPKT yang memerlukan.

Inisiatif yang diterajui oleh Badan Kebajikan dan Sukan KPKT (KESKEP) serta PUSPANITA itu bertujuan meringankan beban kakitangan dalam membuat persiapan menyambut lebaran.

Program tersebut turut diisi dengan sesi Tadabbur dan Tadarus al-Quran, pengisian kerohanian, serta penyampaian hadiah bagi Pertandingan Dekorasi Ramadan KPKT 1447H.