fb fb fb fb fb

Komuniti OKU tidak dipinggir dalam agenda pembangunan negara

Persidangan Asean Disability Forum (ADF)

KUALA LUMPUR 3 Disember - Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak akan dipinggirkan dalam perancangan pembangunan negara, sebaliknya terus diperkasa melalui dasar yang lebih inklusif.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penglibatan OKU kini menjadi keutamaan selaras aspirasi ASEAN Enabling Masterplan 2025 dan prinsip “Nothing About Us, Without Us”.

“Malaysia kini dalam proses meminda Akta Orang Kurang Upaya 2008 bagi memastikan undang-undang sedia ada lebih komprehensif dan menepati keperluan semasa,” katanya selepas persidangan Asean Disability Forum (ADF) di sini, hari ini.

Tambah beliau, penyertaan OKU dalam sesi libat urus, perancangan dasar dan pemantauan program kerajaan amat penting supaya tiada pihak ketinggalan.

Dalam masa sama, kerajaan terus memperluas peluang pekerjaan melalui program padanan kerja, sokongan perniagaan dan kerjasama syarikat swasta seperti KFC serta penyedia perkhidmatan lain.

Majlis Kebangsaan OKU turut memainkan peranan penting sebagai platform rasmi untuk komuniti itu menyuarakan keperluan dan cadangan penambahbaikan.

Majlis tersebut juga menghimpunkan organisasi serantau serta badan antarabangsa seperti UNDP dan UNICEF.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN