fb fb fb fb fb

Komen jelik nahas helikopter: Polis kesan 'Saifuddin Shafik', telefon bimbit dirampas

Tangkap layar kenyataan jelik pengguna X "Saifuddin Shafik"

KUALA LUMPUR, 25 April- Polis berjaya mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan komen jelik terhadap insiden kemalangan helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun media sosial X, "Saifuddin Shafik".

Sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan suspek untuk membuat hantaran tersebut juga dirampas polis untuk siasatan lanjut.

"Siasatan telah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi mengenai kejadian yang mengorbankan seramai 10 kru TLDM itu demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Orang ramai turut diingatkan agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam melalui media sosial.

Mohd Shuhaily berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

SITI AISHAH MD ISA