Liga Super: KRW sasar kebangkitan

Foto Facebook rasmi KelantanRedWarrior

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) komited melakar kebangkitan dalam saingan Liga Super musim 2026/27 selepas menerima kepercayaan beraksi daripada Liga Bola Seoak Malaysia (MFL).

RINGKASAN BERITA AI
  • Merekodkan penghargaan kepada MFL dan Datuk Ab Ghani Hassan atas sokongan dan peluang kepada kelab.
  • Mengucapkan terima kasih kepada FAM, khususnya Datuk Noor Azman Rahman, atas bantuan memperkemas struktur pasukan.
  • Sokongan pemilik, pengurusan, pemain, jurulatih dan penyokong menjadi sumber inspirasi menghadapi cabaran.
  • Berazam bangkit secara sistematik dan realistik untuk mengembalikan kegemilangan serta menggema semula sorakan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Presidennya, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MFL yang dipimpin Datuk Ab Ghani Hassan atas peluang yang diberikan kepada kelab itu untuk kembali bersaing di pentas utama bola sepak negara.

“Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang, namun kami akan melangkah secara sistematik dan realistik bagi memastikan Kelantan kembali disegani,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman serta barisan kepimpinan badan induk itu yang banyak membantu memperkemas dan memperkasakan struktur pasukan.

Menurutnya, sokongan padu daripada pemilik kelab, pengurusan, pemain, jurulatih serta penyokong setia menjadi sumber inspirasi utama dalam mengharungi pelbagai cabaran sebelum ini.

“Terima kasih tidak terhingga atas kesabaran, kesetiaan dan sokongan berterusan.

“Semua ini menjadi suntikan semangat buat kami untuk bangkit,” katanya.

Beliau menegaskan KRWFC akan memastikan nama Kelantan terus berada di persada bola sepak negara, selain berazam mengembalikan kegemilangan pasukan yang pernah menjadi antara kuasa utama Liga Malaysia.

“Insya-Allah, kami akan berusaha sedaya upaya memenuhi harapan semua pihak dan memastikan Stadium Sultan Muhammad IV kembali bergema dengan sorakan penyokong,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.